19 May, 2019
Home » Arab Saudi » TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA MENGAMBIL KATERING GISBH SEWAKTU UMRAH
TPM dan rombongan di Wadi Ikhwan

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA MENGAMBIL KATERING GISBH SEWAKTU UMRAH

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia buat ke sekian kalinya datang ke Mekah untuk mengerjakan ibadah Umrah. Kedatangannya kali ini bersama 17 orang ahli keluarga dan pegawai di Jabatan Perdana Menteri turut mengambil Muassasah Global Ikhwan sebagai pengendali katering rombongan beliau.

TPM dan rombongan di Villa GISBH

Pada 16 Januari 2018 JAD Travel yang menyediakan perkhidmatan pakej Umrah rombongan Timbalan Perdana Menteri telah tiba di Madinah untuk menguruskan segala keperluan sebelum ketibaan Timbalan Perdana Menteri. Keesokkan harinya Timbalan Perdana Menteri bersama keluarga dan pegawai pengiring telah tiba di Madinah dengan pesawat rasmi kerajaan Malaysia. Timbalan Perdana Menteri dan rombongan telah menginap di Madinah selama 2 malam. Oleh kerana Muassasah Global Ikhwan, syarikat GISB Holdings yang berada di Arab Saudi,  terlibat secara langsung dengan katering, pihak JAD Travel telah meminta wakil Muassasah Global Ikhwan iaitu Encik Syurahbil Amran untuk melihat persiapan dapur dan tempat makan di hotel.

Pada 19 Januari 2018 jam 5 petang Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan telah selamat tiba di Royal Airport Jeddah. Oleh kerana pesawat rasmi kerajaan itu hanya dapat memuatkan 13 orang penumpang, Encik Asaad pegawai konsulat yang sepatutnya mengiringi Timbalan Perdana Menteri terpaksa ditinggalkan di Madinah bagi memberi laluan kepada pihak keselamatan Saudi dan tempat beliau sebagai penterjemah telah digantikan dengan Encik Syurahbil dari GISB Holdings Cawangan Haramain.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan telah membuat lawatan ke Wadi Ikhwan, sebuah ladang ternakan haiwan kesayangan Rasulullah yang dimiliki oleh GISB Holdings cawangan Mekah. Timbalan Perdana Menteri dan rombongan telah diberi penerangan tentang haiwan-haiwan yang ada di situ oleh Ustaz Suhaimi Muzali sebagai orang yang diamanahkan menjaga haiwan-haiwan tersebut. Timbalan Perdana Menteri dan isteri sangat teruja dengan haiwan-haiwan yang dipelihara oleh GISB Holdings terutamanya itik kerana menurut beliau rasa itik yang diternak di sini sangat sedap dan lain dari itik di tempat lain. Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dan isteri telah dijamu dengan menu itik yang diternak dan disembelih di Wadi Ikhwan.

TPM dan rombongan di Wadi Ikhwan

Setelah selesai melihat haiwan yang ada di wadi ikhwan, Timbalan Perdana Menteri dan rombongan telah dibawa ke khemah Arab untuk kudapan. Timbalan Perdana Menteri telah meminta untuk didendangkan nasyid atau qasidah sebagai memeriahkan majlis. Kumpulan Nasyid GISB Holdings iaitu Generasi Harapan Haramain telah memenuhi permintaan itu dengan mendendangkan 4 buah nasyid atas permintaan Timbalan Perdana Menteri sendiri. Timbalan Perdana Menteri dan rombongan telah dihidangkan dengan apam balik yang disediakan oleh staf GISBH di Wadi Ikhwan sementara anak-anak Timbalan Perdana Menteri bermain dengan haiwan dan menunggang kuda serta keldai. Timbalan Perdana Menteri telah memberi sumbangan kepada anak-anak di Wadi Ikhwan sebanyak SR3000 dan menempah seekor unta untuk dibuat kenduri di bulan Ramadan nanti. Bila staf Wadi Ikhwan meminta maaf atas segala kekurangan layanan Timbalan Perdana Menteri menyatakan tiada kekurangan malah mengucapkan terima kasih di atas layanan terbaik Wadi Ikhwan. Datin Seri Hamidah turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana memberi pengalaman menghayati kehidupan Rasulullah dan beliau sendiri mengatakan tempat ini dan anak2 disini sangat berkat.

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan meneruskan perjalanan ke Taif. Tempat yang pertama disinggahi oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah Kilang Ros Al Kamal. Pihak keselamatan Saudi telah menutup tempat tersebut kepada pengunjung lain bagi memberi laluan kepada Timbalan Perdana Menteri dan rombongan melawat kilang tersebut tetapi Timbalan Perdana Menteri telah bermurah hati membenarkan pelawat-pelawat dari Malaysia yang menunggu giliran untuk bersama-sama dengan beliau. Kesempatan ini telah diambil oleh jemaah Malaysia yang turut melawat Taif untuk bermesra dan bergambar dengan Timbalan Perdana Menteri. Seterusnya membeli minyak wangi ros yang dijual di situ.

Selepas melawat kilang bunga ros Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan telah dibawa ke Jabal Shafa untuk bersarapan nasi lemak yang disediakan oleh team catering GISBH. Walaupun dibawa ke tempat makan yang kurang wibawa dan menyebabkan pihak Konsulat juga Pihak Keselamatan Saudi memarahi Encik Syurahbil kerana memilih tempat yg sangat tidak sesuai bagi pemimpin besar negara, tetapi Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keluarga sangat gembira dapat menghayati sejarah kehidupan Rasulullah yang diuji di Taif apabila diceritakan beberapa kisah Rasulullah di Taif oleh Ustaz Miqdam disitu sambil mereka menikmati teh Arab dan kurma. Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta anak-anak beliau menginsafi kesusahan yang dilalui oleh baginda Rasul demi untuk memastikan Islam sampai kepada umatnya. Anak-anak Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada GISB Holdings kerana dapat melalui pengalaman yang berharga di Taif. Begitulah percaturan Allah, walaupun berlaku kesilapan memilih tempat yang sepatutnya di satu tempat yang lebih berwibawa tetapi Allah telah anugerahkan rasa kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan untuk menghayati kehidupan Rasulullah di tempat tersebut.

Menulis buku pelawat di Maktabah Masjid Taif
Menulis buku pelawat di Maktabah Masjid Taif

Kemudian Timbalan Perdana Menteri dan rombongan dibawa melawat Masjid Saidina Abdullah Ibnu Abbas. Oleh kerana telah masuk waktu zohor Timbalan Perdana Menteri meminta semua rombongan solat di sini. Selesai solat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan dibawa melawat sekitar masjid sambil diberi penerangan oleh mutawif tentang sejarah Taif kemudian telah mengunjungi maktabah masjid. Pihak maktabah telah berbesar hati memperlihatkan sebuah naskah tulisan tangan yang telah diawet dengan kos USD60,000 berusia lebih dari 700 tahun kepada Timbalan Perdana Menteri dan rombongan. Timbalan Perdana Menteri turut melihat dan mengambil gambar batu-batu bersurat yang berusia dari 700 hingga 1000 tahun. Setelah menulis buku catatan pelawat Timbalan Perdana Menteri dan rombongan turut dibawa melawat masjid siku nabi dan masjid Saidina Ali di Taif. Kemudian destinasi terakhir lawatan di Taif ialah pasar buah. Oleh kerana waktu sudah lewat petang konsulat dan pihak keselamatan mencadangkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus balik ke hotel tanpa singgah dimana-mana tetapi bila disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteridan isteri beliau, beliau meminta untuk meneruskan jadual asal iaitu berhenti dan makan di Villa GISBH di Mekah. Begitulah perancangan Allah yang mengatasi perancangan manusia.

TPM meneliti gambar para Ahli Lembaga Penasihat GISBH

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan tiba di Villa GISBH Mekah jam 4.45 petang. Sampai sahaja di villa, Timbalan Perdana Menteri terus meminta izin menggunakan tandas di luar villa yang baru disiapkan atas cadangan YB Tuan Nasiruddin Mohd Ali. Timbalan Perdana Menteri kemudian masuk ke dalam villa dan melihat peta GISBH International dan melihat gambar Ahli Lembaga Pengarah GISBH sambil diperkenalkan dan diberi penerangan oleh Encik Syurahbil. Encik Syurahbil telah menerangkan tentang cara hidup dan disiplin staf GISBH yang diamalkan di seluruh dunia. Antaranya GISBH mewajibkan setiap staf untuk solat berjemaah dan makan pun secara berjemaah.

Melihat peta perjalanan Hijrah Rasululah SAW

Selesai makan Timbalan Perdana Menteri telah dibawa melihat sekitar villa oleh Ustaz Haizad dan diberi penerangan tentang perjalanan Hijrah Rasulullah melalui peta yang dilekatkan di dinding villa. Kemudian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan telah dibawa ke ruangan julus arabi untuk menonton tayangan profile GISB Holdings. Timbalan Perdana Menteri dan rombongan telah mengikuti tayangan profile dengan penuh khusyuk. Selesai tayangan profil, Timbalan Perdana Menteri dan rombongan bertepuk tangan tanda berpuashati dengan apa yang telah dipersembahkan.

Pada malam sebelum pulang Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah didatangi tetamu Dr Salleh Zainul Abidin As Syuaibi merupakan pemegang amanah kunci kaabah. Dalam pertemuan itu Timbalan Perdana Menteri mengisytiharkan makanan yang disediakan adalah dari GISBH sambil tunjuk kepada remaja-remaja GISBH yang sedang menghidang makanan yang berkoliah tinggi GISBH adalah kawan-kawannya. Malah makanan nasi mandy yang ditempah khas untuk tetamu tidak dimakan kerana lebih suka makan makanan yang disediakan oleh katering GISB Holdings.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan telah berangkat pulang ke tanah air pada 24 Januari 2018. Alhamdulillah dengan keberkatan Timbalan Perdana Menteri sempat memesan makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk dibawa ke dalam kapal terbang sebagai bekalan makanan dalam perjalanan. Encik Syurahbil turut mengiringi rombongan Timbalan Perdana Menteri ke Royal Airport Jeddah dan menyerahkan makanan yang dipesan sehingga ke pintu pesawat. Datin Seri Hamidah sanggup keluar dari kawalan askar dan pembesar-pembesar Arab Saudi dan terus menuju kepada Encik Syurahbil berjumpa dengan Encik Syurahbil untuk mengucapkan terima kasih diatas layanan yang diberikan sepanjang berada di Mekah. Anak-anak Timbalan Perdana Menteri juga bersalaman dan berpelukan dengan Encik Syurahbil dengan penuh mesra sebelum berpisah menandakan hubungan yang sangat mesra dan akrab. Peristiwa ini turut disaksikan oleh Konsul General Malaysia Dato Hj Ali, Konsul Haji Hj Suhaimi dan seluruh staf kedutaan dan pegawai konsulat juga pegawai keselamatan.

Moga usaha menyantuni rombongan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyebabkan kami dapat Tuhan dan mereka juga mendapat Tuhan agar agama Islam dijunjung dan Tuhan dibesarkan dalam setiap aspek kehidupan

Carian Terkini:

  • gisb mekkah
  • gisb saudi