29 January, 2020
Home » Malaysia » Kelantan » GISBH KELANTAN BERI MOTIVASI ANJURAN AGENSI ANTI DADAH KEBANGSAAN

GISBH KELANTAN BERI MOTIVASI ANJURAN AGENSI ANTI DADAH KEBANGSAAN

Pada 22 Ogos 2017 GISB Holdings cawangan Gua Musang, Kelantan telah berkerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan atau singkatannya AADK, cawangan Gua Musang mengadakan satu program motivasi yang dianjurkan oleh AADK negeri Kelantan. Turut terlibat sama adalah Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah iaitu JKPD Daerah Chiku dalam siri motivasi ini. Seramai 43 orang peserta yang terdiri dari pelatih-pelatih di AADK atau Orang Kena Pengawasan telah menghadiri program ini.

Pengisian Motivasi telah diberikan oleh Encik Mohammad Nor Azhar bin Nordin, Tok penggawa Daerah Chiku dan YBM Tuan Nik Hishamuddin Nik Hassan, Pengarah GISB Holdings Cawangan Gua Musang, Kelantan. Program telah dimulakan dengan alunan nasyid dan diteruskan dengan kuliah motivasi.

Antara perkara utama yang disampaikan adalah dengan membawa semua peserta untuk benar-benar kenal Allah serta takut dan rindu padaNya. Menjadikan Allah itu tempat untuk menyelesaikan segala masaalah dan bergantung kepada Allah. Dibawa bersama peserta untuk memastikan sembahyang yang menjadi tiang agama benar-benar dihayati.

Sewaktu ditanya dalam sesi kuliah berapa orang antara mereka yang menunaikan solat 5 kali sehari. Ramai diantara mereka mengakui menunaikan solat tidak cukup 5 kali sehari ataupun tidak solat langsung. Peringatan diberikan paad mereka supaya tidak meninggalkan solat fardhu lagi selepas ini kerana ia adalah perhubungan agung antara hamba dengan Tuhannya. Jika seseorang tidak menunaikan solat bermakna dia telah memutuskan hubungan dengan Tuhannya. Justeru, keberkatan tidak berlaku di dalam kehidupan. Masalah datang bertimpa-timpa di dalam hidup seseorang.