25 August, 2019
Home » Malaysia » Kelantan » PRODUK IKHWAN DI KALA FEST, KELANTAN

PRODUK IKHWAN DI KALA FEST, KELANTAN

Ajaran Islam jika diamalkan sepenuhnya dalam sesebuah organisasi atau kumpulan, pasti akan melahirkan satu masyarakat yang indah dan membahagiakan. Setiap yang melihatnya pasti akan jatuh hati, masyarakat akan suka dan menjadikan mereka sebagai contoh ikutan.  

Pada 24 hingga 28 April 2019, GISBH Kelantan telah dijemput oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) untuk turut serta memeriahkan Kelantan Authentic & Art Festival atau KALA Fest di hadapan bangunan UTC, Kota Bharu, Kelantan.

GISBH Kelantan telah diberi 2 booth iaitu booth jualan yang menempatkan produk keluaran Ikhwan dan booth pameran yang memaparkan penerangan dan tayangan video profil GISBH. Atas panduan dari YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, CEO GISBH, segala kerja diatur sebaiknya termasuklah dalam penyusunan produk bagi memastikan Islam dilihat indah dan berwibawa.

Perasmi KALA Fest, YB Dato’ Hj Hanifa b Ahmad iaitu Exco Kerjaraya Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat, pernah menghadiri program Maghrib Perdana di Bandar Ikhwan Gong Kulim (BIGK) di bawah GISBH Kelantan. Beliau telah menyatakan rasa kagumnya bila melihatkan banyaknya cawangan GISBH di seluruh dunia. YB Dato’ juga turut menyatakan rasa syukurnya dengan keberadaan GISBH yang sangat memudahkannya untuk mencari makanan halal khususnya di luar negara. Dalam kesempatan itu, pihak GISBH telah menghadiahkan ‘goodies bag’ kepada beliau.

Karnival yang berlangsung selama 5 hari itu menampilkan pelbagai acara yang telah disusun oleh pihak penganjur. Di atas keberkatan, pada 27 April, kumpulan penasyid dari GISBH, Akademi Generasi Harapan telah diberi peluang untuk mengadakan persembahan Kebudayaan Islam. Antara yang terlibat dalam persembahan tersebut termasuklah para pelajar GISBH.

Disamping itu juga pihak GISBH juga telah diberi peluang untuk menayangkan profil syarikat dan pelbagai tayangan promosi produk GISBH di layar utama karnival yang terletak berhadapan pintu masuk UTC selama 3 hari berturut-turut tanpa sebarang bayaran.

Pelbagai respon yang positif diterima dari para pengunjung yang hadir. Mereka meyatakan kekaguman dan memberikan sokongan penuh terhadap kaedah perniagaan yang dibawa oleh GISBH dengan membeli produk keluaran GISBH. Hasilnya booth GISBH terus meriah dengan kehadiran para pengunjung dari awal pembukaan hingga ke hari terakhir walaupun banyak booth yang terpaksa ditutup awal kerana tidak mendapat sambutan.

Semoga dari hasil karnival ini, Islam terus dipandang tinggi oleh semua lapisan masyarakat sekaligus mempromosikan cara hidup islam seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.