13 December, 2018
Home » Malaysia » GISBH SARAWAK MULA TEROKA PEDALAMAN BARIO

GISBH SARAWAK MULA TEROKA PEDALAMAN BARIO

Pada 27 September 2018 yang lalu, Jabatan Mualaf dan Perhubungan Luar GISB Holdings Sarawak dan Remaja Pembela Ummah (RPU) Sarawak telah membuat satu ekspedisi ke Bario, salah satu daerah yang terletak di bahagian utara negeri Sarawak dan berhampiran dengan sempadan Kalimantan, Indonesia.

Ekspedisi tersebut yang di ketuai oleh Ybhg Tuan Azri Mohd Yunus selaku Pengarah GISB Holdings bagi Zon Sarawak dan rombongan seramai 4 orang telah bertolak daripada Lapanganterbang Miri ke Bario pada jam 9.30 pagi dan tiba pada jam 10.15 pagi.

Kedudukan Bario yang terletak kira-kira 3,280 kaki dari aras laut merupakan Hutan Tropika Khatulistiwa yang tertua dunia menjadikan daerah Bario menjadi tempat pelancongan yang sering dikunjungi oleh para pelancong daripada luar negera.

Walaupun penduduk di Bario dianggarkan hanya 1000 orang, namun kemudahan-kemudahan yang penting tetap diwujudkan seperti Pejabat Imigresen, Bàlai Polis, Klinik Kesihatan, Kem Tentera, sekolah rendah dan menengah.

Pengangkutan menghubungkan Bario dengan bandaraya terdekat iaitu Miri ialah dengan menggunakan pesawat kecil yang hanya boleh membawa 16 orang penumpang. Terdapat juga jalanraya yang belum bertar dan memakan masa 12 hingga 15 jam perjalanan daripada bandar Miri.

Ketibaan rombongan ekspedisi telah disambut oleh Encik Roger yang membawa Ybhg Tuan Azri dan rombongan ke Homestay Pakcik Mustafa, antara keluarga muslim yang menetap di daerah Bario. Setiba sahaja di Homestay, Ybhg Tuan Azri serta rombongan telah berkenalan dengan Leftenan Sofian, seorang anggota keselamatan di Bario.

Selesai menjamu selera, Leftenan Ahmad Sufian Sahir telah mengajak rombongan ke surau Kem Askar yang merupakan satu-satunya surau yang terdapat di kawasan tersebut untuk menunaikan solat zohor. Oleh kerana surau tersebut tidak mempunyai alat pembesar suara, YBhg Tuan Azri telah menghadiahkan sebuah pembesar suara untuk kegunaan di surau tersebut. Pembesar suara tersebut telah dibeli di bandar Miri dan dikirimkan ke Bario yang telah diusahakan oleh team RPU Sarawak.

Pada sebelah malamnya, YBhg Tuan Azri telah berjumpa Pakcik Mustafa yang menyatakan telah mewakafkan sebidang tanah untuk didirikan masjid dan telah mendapat peruntukan sebanyak RM350.000 daripada kerajaan untuk tujuan itu. Oleh kerana ramai dikalangan masyarakat Bario yang kurang senang dengan pembinaan masjid tersebut, maka Pakcik Mustafa telah menangguhkan proses pembinaan.

YBhg Tuan Azri telah memberikan pandangan kepada Pakcik Mustafa supaya mewujudkan cara hidup Islam yang indah dengan membuat program pertanian dan penternakan di Bario. Bagi tujuan itu, syarikat GISBH boleh menghantar Remaja RPU ke Bario untuk membangunkan program tersebut.

Keesokkan harinya YBhg Tuan Azri dan rombongan diiringi oleh saudara Erwan Shah dan Abdul Halim, anak kepada Pakcik Mustafa ke pekan Bario untuk melihat masyarakat yang terdiri dari berbagai suku kaum antaranya kaum Kelabit, Kenyah, Lunbawang dan Iban. Masyarakat di Bario nampak begitu ramah mesra dan mudah tersenyum apabila melihat cara pendekatan yang dipamerkan oleh YBhg Tuan Azri dan rombongan.

Rombongan berangkat pulang ke Miri pada keesokan harinya. Sebelum berangkat pulang, YBhg Tuan Azri Mohd Yunus telah menghadiahkan songkok Ikhwan kepada saudara Erwan Shah dan Abdul Halim. Semoga dengan keberkatan terbangunlah Islam di Bario, Sarawak.