23 October, 2017
Home » Malaysia » Selangor » DOA SELAMAT SEMPENA ANUGERAH DARJAH INDERA MAHKOTA PAHANG BUAT CEO GISBH

DOA SELAMAT SEMPENA ANUGERAH DARJAH INDERA MAHKOTA PAHANG BUAT CEO GISBH

Pada 16 Mei 2017, GISB Holdings telah mengadakan Majlis Ambang Ramadhan dan Doa Selamat Penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang di Dewan Perdana Ekhwan, Pusat Perniagaan Ikhwan Subang, 50 Jalan Uranus AH U5/AH, Seksyen U5, Subang Impian, Shah Alam, Selangor.

Majlis doa selamat tersebut adalah untuk meraikan CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings, Dato’ Lokman Hakim Pfordten bin Abdul Rahim berkelahiran Cameron Highland, Pahang yang baru menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang dari Pemangku Sultan Pahang pada 15 Mei 2017 di Istana Abu Bakar di Pekan sekaligus membawa gelaran Dato’.

Majlis tersebut dimulakan dengan doa selamat yang disampaikan oleh Pengarah GISB Holdings Kelantan iaitu Tuan Nik Hishamuddin Nik Hassan.

Selesai doa selamat dibacakan, Dato’ Lokman Hakim Pfordten diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan di dalam majlis yang penuh bermakna pada beliau.

Ucapan Dato’ Lokman Hakim Pfordten dimulakan dengan penghargaan ke atas jasa bonda beliau, Hajjah Kamariah Binti Yaakob yang turut hadir di dalam majlis tersebut dan kekanda-kekanda
‎Dato’ Lokman Hakim.

Tidak ketinggalan juga tetamu VIP yang hadir di dalam majlis tersebut adalah Dato’ Sri Amir Hamzah, Dato’ Wan Nasser Ismail dan Dato’ Ujad Abu Bakar yang Dato’ Lokman Hakim memanggil dengan panggilan ‘kanda’ sebagai panggilan mesra kepada mereka yang sudi hadir dalam majlis beliau.

Seterusnya Dato’ Lokman Hakim menyampaikan penghargaan ditujukan kepada semua yang hadir termasuklah Dato’ Norhafiza Zakaria, juga adinda-adinda yang menghiburkan para hadirin dari penasyid Generasi Harapan, pengarah-pengarah yang datang dari berbagai negeri serta anggota staf GISB Holdings yang hadir untuk sama-sama meraikan majlis.

Ucapan Dato’ Lokman Hakim Pfordten yang pendek dan padat serta penuh erti itu menyatakan, ”Tidak cukup hanya dengan kata-kata untuk mengatakan kita bersyukur pada Allah, Tuhan yang telah menganugerahkan berbagai-bagai nikmat tidak kira siang dan malam nikmat lahir dan batin daripada apa yang dapat dikecapi pancaindera kita hingga apa yang dapat kita rasakan, nikmat ketenangan, nikmat dapat bersabar dengan ujian, nikmat dapat mengasihi.”

Seterusnya Dato’ Lokman Hakim berucap, “Berbagai-bagai nikmat berbentuk maknawi yang kita tidak sedar, kita sedang dianugerahkan oleh Allah setiap detik dan ketika dan kepadaNyalah kita memohon moga dianugerahkan kepada kita rasa setinggi-tinggi bersyukur kepadaNya.”

Dato’ Lokman Hakim membacakan sepotong Ayat Al Quran: وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ Dan sedikit di kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur.

Kata beliau,”Moga-moga kita digolongkan dalam golongan yang sedikit ini iaitu golongan yang bersyukur di atas nikmat-nikmat Allah, bukan dengan sekadar ucapan kata syukur tapi dengan rasa yang membuahkan tindakan.”

Seterusnya beliau mengatakan tindakan itu ialah kita menjadi hamba sebaik-baik hamba dalam ertikata banyak berkhidmat kepada hamba-hamba Allah yang lain.‎

Selesai berucap, Dato’ Lokman Hakim Pfordten‎ berbesar hati untuk meraikan tetamu VIP dengan menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Sri Amir Hamzah, Dato’ Wan Nasser Ismail dan Dato’ Ujad Abu Bakar.

Majlis Ambang Ramadhan dan Doa Selamat tersebut diselangi dengan persembahan Nasyid oleh kumpulan Generasi Harapan yang terdiri dari adik beradik dengan ditambah lagi dengan persembahan silat oleh pelajar-pelajar GISB Holdings.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar Dato’ Lokman Hakim Pfordten dengan tetamu VIP, ibu dan adik beradiknya serta staf GISB Holdings yang datang dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Terengganu.

Carian Terkini:

  • dato lokman hakim global ikhwan
  • dato Lokman Hakim Fordten
  • doa jihad dalam global ikhwan
  • makna doa jihad gisb ikhwan