13 December, 2018
Home » Malaysia » PERTEMUAN JAIS DENGAN GISBH MENAMBAH ERAT HUBUNGAN

PERTEMUAN JAIS DENGAN GISBH MENAMBAH ERAT HUBUNGAN

Pada 15 Februari 2018, Wakil Sektor Pendidikan GISB Holdings telah dijemput menghadiri mesyuarat bersama Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS. Pertemuan yang bermula pada jam 2.00 petang itu telah berlangsung di bilik mesyuarat Tengku Ibrahim Shah di Bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ia telah di hadiri oleh 7 orang wakil Sektor Pendidikan GISBH iaitu Tuan Johari Morad, Tuan Tengku Azhar, selaku ahli lembaga pengarah GISBH, Encik Saiful Rasyid, Puan Siti Rahmah dan beberapa orang yang lain.

Mesyuarat yang berlangsung selama 1jam setengah itu telah dipengerusikan oleh Ustaz Nairawi bin Hj Sarry, selaku Penolong Pengarah Unit Kurikulum JAIS. Ustaz Hj Asmadi selaku Ketua Sektor Akademik Pendidikan JAIS telah mengalu-alukan kedatangan wakil pendidikan GISBH. Antara yang dibincangkan ialah aktiviti kursus perguruan dan pengurusan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2017 serta cadangan aktiviti untuk tahun 2018. Dinyakan juga dalam pertemuan itu, laporan hasil lawatan dan pemeriksaan oleh Bahagian Pendidikan JAIS yang dibuat ke sekolah-sekolah GISBH telah mendapat maklum balas yang sangat baik.

Pihak pelawat JAIS telah melaporkan bahawa sekolah-sekolah yang dikendalikan GISBH sangat berusaha untuk membina sistem persekolahan yang lebih kemas dan tersusun mengikut garis panduan yang telah diberikan oleh Bahagian Pendidikan JAIS. Mereka sangat mengkagumi akhlak anak-anak pelajar di sekolah-sekolah GISBH. Pihak JAIS sangat berpuas hati di atas kerjasama yang GISBH berikan yang berbeza dengan sekolah-sekolah swasta yang lain. Susulan dari itu pada tahun 2018 ini pihak JAIS akan berusaha membantu agar sekolah-sekolah GISBH ini dapat menjadi sekolah swasta JAIS yang terbaik.

Selepas sesi taklimat dan pembentangan oleh pihak JAIS, YDB Tuan Johari Morad dijemput untuk berucap dan merespon sebagai mewakili Sektor Pendidikan GISBH. Dalam ucapannya Tuan Johari Morad mengucapkan terima kasih kepada pihak JAIS yang sangat mengambil berat tentang perjalanan pendidikan sekolah-sekolah GISBH selama ini. Pemantauan dan lawatan yang dibuat JAIS setakat ini sangat membantu para pentadbir sekolah dan guru-guru lebih memahami aspek pengurusan sekolah secara lebih terperinci.

Seterusnya Tuan Johari Morad telah menjemput Ustaz Asmadi serta staf Bahagian Pendidikan JAIS mengadakan sesi lawatan khas ke Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes, Rawang bagi melihat sendiri perlaksanaan sistem hidup bermasyarakat yang menjadikan pendidikan rohaniah itu sebagai asas pembinaan keluarga dan masyarakat di dalam GISBH. Ustaz Asmadi pula memberi respon positif dengan melahirkan harapan agar hubungan yang terbina antara JAIS dan GISBH akan menjadi lebih erat lagi. Beliau mengakui sebenarnya merasa sangat malu kerana walaupun berkali-kali telah dijemput ke PPI BCH, beliau masih lagi belum berkesempatan untuk datang. Beliau sempat bercerita pengalamannya selama satu hari melawat Bandar Ikhwan Jerash ketika menziarahi anaknya di Jordan 2 tahun lepas.

Di akhir pertemuan mereka telah memutuskan untuk membuat lawatan kerja ke Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes, Rawang pada bulan April ini. Dijangkakan anggota rombongan seramai 8 orang. Tarikh akan ditetapkan kemudian. Selain itu pihak JAIS juga sudi untuk mengeluarkan Sijil Tauliah Mengajar kepada mana-mana guru GISBH yang telah mengikuti kursus-kursus anjuran Bahagian Pendidikan JAIS. Sijil ini akan diberikan setelah mengikuti kursus khas hanya selama sehari dan mesti lulus dalam peperiksaan di hujung sesi.

Di akhir pertemuan pihak JAIS sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada GISBH atas kerjasama dan mengharapkan hubungan kerjasama ini terus dapat dijalinkan demi untuk membina sebuah sebuah sistem pendidikan Islam yang benar-benar berkualiti mengikut kaedah Allah dan Rasul.