23 October, 2017
Home » Thailand » Phuket » Mawaddah buat persembahan di Phuket Andaman Halal Expo

Mawaddah buat persembahan di Phuket Andaman Halal Expo

Pada 4 hingga 6 Ogos 2017 yang lalu, kumpulan Mawaddah telah dijemput untuk membuat persembahan di Phuket Andaman Halal Expo 2017. Expo Halal ini merupakan program tahunan di Phuket, Thailand dan dianggarkan hampir 2000 orang yang hadir setiap hari.

Expo Halal ini telah dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Phuket yang sempat menghadiri expo ini bersama beberapa VVIP yang lain. Expo ini bertujuan mempromosikan produk-produk halal di Thailand yang terdiri daripada makanan, alat kecantikan, pakaian dan lain-lain.

Yayasan Global Ikhwan Phuket juga mendapat satu slot tapak untuk berniaga dan telah diisi dengan produk-produk dari Bakeri Ikhwan Phuket.

Kumpulan Mawaddah telah mendapat perhatian orang ramai apabila bermulanya persembahan mereka berbanding dengan persembahan dari beberapa kumpulan yang lain. Tidak cukup dengan persembahan di pentas utama, kumpulan Mawaddah juga diminta oleh pihak penganjur untuk membuat persembahan di pentas kecil yang terletak di tengah-tengah tapak expo. Persembahan yang menarik ditambah pula dengan mesej-mesej yang menceritakan Allah & Rasul serta kasih sayang yang telah didendangkan di bumi Phuket.

Ramai antara pengunjung memberi respon sangat suka dengan persembahan yang diberi dan merasakan satu kelainan dari kebiasaan nasyid-nasyid iaitu mesej-mesej yang hendak disampaikan sangat terasa ke hati. Tarian-tarian berunsur silat yang dipersembahkan juga dirasakan satu kelainan kerana kebanyakkan nasyid di sini hanya berdiri tegak sahaja. Orang-orang bukan Islam yang berkunjung ke sini pula sangat tertarik dengan persembahan tersebut sehingga mengetahui Islam yang sebenar itu adalah agama yang membawa kasih sayang dan bukanlah pengganas seperti yang didengari oleh mereka. Penganjur program pula sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberi dan ingin mengajak kumpulan Mawaddah lagi pada masa akan datang untuk membuat persembahan.

Semoga mesej-mesej Islam yang disampaikan dapat dirasai para pengunjung yang hadir sehinggalah Islam semakin menang dan terus dimenangkan di negara Thailand ini khususnya di selatan Thai.