13 December, 2018
Home » UAE » Dubai » RESTORAN GISBH DUBAI MENDAPAT PERHATIAN TV VIETNAM

RESTORAN GISBH DUBAI MENDAPAT PERHATIAN TV VIETNAM

Makan Sepuas Hati dan Bayar Ikut Rasa Hati atau Pay As You Wish merupakan satu konsep yang dilaksanakan di sebahagian restoran cawangan milik GISB Holdings. Ianya bukan sahaja menjadi tarikan kepada masyarakat, tetapi turut mendapat perhatian media massa antarabangsa.

Pada 7 September 2018, Nur Malaysia Restaurant cawangan Dubai telah dikunjungi oleh wakil sebuah stesen televisyen – VTV atau Vietnam Television. VTV adalah stesen televisyen nasional negara Vietnam, yang mempunyai jumlah penonton mencecah 100 juta orang dipancarkan ke seluruh dunia.

Kunjungan tersebut telah diketui oleh Mr. Le, yang merupakan pegawai operasi VTV cawangan Timur Tengah dan beribu pejabat di Abu Dhabi. Beliau mengetahui Nur Malaysia Restaurant melalui salah seorang pelanggan tetap, yang juga merupakan ahli korporat Malaysia di Dubai – Mr. KC Cheah. Kedatangan pihak VTV adalah untuk membuat liputan khas kerana sangat tertarik dengan konsep Pay As You Wish Buffet yang dibuat pada setiap hari Jumaat bermula dari jam 2 petang hingga 5 petang.

Mr. Le melalui responnya berkata, walaupun beliau telah berkunjung ke banyak negara, namun ini adalah kali pertama baginya melihat satu kelainan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana restoran atau syarikat. Malah melihatkan suasana restoran yang penuh dengan pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat, beliau berkata konsep ini sangat unik kerana dapat menyatupadukan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Dalam temuramah oleh pihak VTV, staff Nur Malaysia Restaurant turut memberi penjelasan bahawa matlamat syarikat GISB Holdings bertapak di seluruh negara adalah bukan untuk mencari keuntungan semata-mata, tetapi adalah untuk memberi khidmat sebanyaknya kepada masyarakat. Maka tujuan Pay As You Wish ini dipromosikan adalah untuk mengajak semua masyarakat membuat sebanyaknya kebaikan, dengan golongan yang senang membantu yang susah, dan golongan susah merasa dibela. Inilah yang ingin dipromosikan oleh GISB Holdings bahawa Islam adalah agama yang sangat menekankan kasih sayang, dan bukanlah agama yang membawa kepada keganasan dan peperangan seperti yang dilabelkan oleh Barat.

Mr Le yang mendengar penjelasan tersebut sangat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Pihak VTV kemudiannya turut menemuramah beberapa orang pelanggan tetap di Nur Malaysia Restaurant, yang mewakili Melayu, Cina dan India. Mr. Le yang juga merupakan pengacara tv kemudiannya memasukkan sejumlah wang ke dalam tabung yang disediakan sebagai simbolik kepada sumbangan Pay As You Wish.

Diharapkan segala usaha yang dibuat oleh syarikat GISB Holdings ini, akan semakin dekat dengan masyarakat, bagi melahirkan peribadi manusia seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW – “Sebaik baik manusia adalah yang banyak memberi manfaat kepada manusia yang lain”.