13 December, 2018
Home » UAE » Dubai » PENGARAH GISBH ZON JOHOR BERTEMU KENALAN RAPAT DI UAE

PENGARAH GISBH ZON JOHOR BERTEMU KENALAN RAPAT DI UAE

Pada 18 Oktober 2018, GISB Holdings Dubai telah menerima kedatangan Ybhg Tuan Nik Hazani Nik Mohammad, Ahli Lembaga Penasihat GISB Holdings yang juga Pengarah Zon Johor 1 dan Negara-Negara Teluk. Ketibaan beliau bersama Puan Anisah Morad telah disambut dengan penuh kasih sayang oleh seluruh kakitangan GISB Holdings di sini.

Ketibaan Ybhg Tuan Nik Hazani ke Dubai adalah setelah selesai mengikuti Ekspedisi Balkan 2. Sepanjang berada di Dubai, Ybhg Tuan Nik Hazani telah menerima kunjungan daripada kenalan-kenalan rapat syarikat GISB Holdings di UAE.

Antaranya adalah Encik Kamal Hisham Jaafar, peguam dan konsultan, yang berasal dari Johor Bharu. Beliau yang berada di Dubai selama 5 hari atas urusan kerja telah meluangkan masa bertemu Ybhg Tuan Nik Hazani Nik Mohamad sambil menikmati makan malam di Villa GISBH UAE, Sharjah. Encik Kamal yang sebelum ini pernah menetap di Dubai, merupakan seorang individu yang sangat memberi sokongan kepada syarikat GISB Holdings, semasa mula bertapak di UAE 5 tahun yang lalu. Kedatangannya ke Dubai pada kali ini membuatkan beliau sangat teruja apabila melihatkan perkembangan GISB yang sangat laju serta semakin gah dan berwibawa. Beliau mengakui inilah imej yang patut dibawa oleh sebuah syarikat atas nama Islam, yang tidak mampu dilakukan oleh mana-mana syarikat yang lain.

Pada tarikh 20 Oktober pula, bertempat di Villa GISBH UAE juga, Ybhg Tuan Nik Hazani menerima kunjungan daripada Mr Khalid, yang merupakan kerabat diraja Dubai. Beliau adalah penama rakyat tempatan, bagi Nur Malaysia Restaurant milik GISB yang didaftarkan disini. Ini merupakan pertemuan kali keduanya dengan Ybhg Tuan Nik Hazani, malah beliau pernah berkata hubungan baiknya dengan seluruh ahli GISB adalah lain daripada yang lain, kerana dirasakan seperti sebuah keluarga.

Selain itu juga, Ybhg Tuan Nik Hazani Nik Mohamad telah memenuhi jemputan Mr Hanif, kenalan rapat yang berasal dari India. Beliau yang sangat meraikan para pimpinan GISB Holdings, pernah bertemu dan menjemput Pengerusi Lembaga Penasihat, Ybhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan rombongan ke rumahnya beberapa bulan yang lalu. Pada kali ini, Mr Hanif telah menjemput Ybhg Tuan Nik Hazani menikmati makan malam di cawangan baru kafeteria miliknya, yang terletak di Port Rashid. Beliau berkata, kedatangan Ybhg Tuan Nik Hazani pada malam tersebut adalah sebagai ‘soft launching’ serta menambahkan lagi keberkatan pada kafeterianya, yang baru beroperasi beberapa minggu lalu.

Setelah menikmati makan malam, Mr Hanif yang sangat menghormati Ybhg Tuan Nik Hazani, telah bermurah hati menghadiahkan penginapan satu malam kepada Ybhg Tuan Nik Hazani di Hotel Queen Elizabeth 2, yang terletak di pelabuhan tersebut. Queen Elizabeth 2 adalah sebuah kapal persiaran yang digunakan untuk belayar ke seluruh dunia dari tahun 1969 hingga 2008. Namun ianya telah di buka secara rasmi sebagai sebuah hotel pada 18 April 2008, dengan menjadikan ianya hotel terapung pertama di Timur Tengah.

Begitulah apabila hati-hati manusia telah ditawan dengan akhlak dan peribadi yang mulia, hingga membuatkan mereka jatuh hati dan sanggup berbakti sesama manusia kerana keredhaan Allah.

Ybhg Tuan Nik Hazani kemudiannya berlepas pulang ke Malaysia menaiki penerbangan pada 26 Oktober yang lalu. Semoga dengan kedatangan Ybhg Tuan Nik Hazani pada kali ini, GISB Holdings cawangan Dubai terus dikualitikan insaniah dan materialnya, untuk Islam terus dimenangkan dengan keberkatan.