23 October, 2017
Home » UAE » Dubai » Pay as you wish diperkenal setelah Restoran GISBH Dubai bertukar nama

Pay as you wish diperkenal setelah Restoran GISBH Dubai bertukar nama

Setelah lebih setahun beroperasi atas nama Rasa Sayang Restaurant, kini restoran milik GISB Holdings cawangan Dubai, telah dipinda nama dan didaftarkan perniagaannya atas nama Nur Malaysia Restaurant, selaras dengan cawangan restoran restoran  GISB di luar negara yang lain.

Atas hasrat Pengarah GISB Holdings Negara-negara Teluk, YBM Tuan Nik Hazani Nik Mohamad, urusan pertukaran nama itu telah berjalan lancar walaupun memakan masa yang agak lama. Proses bermula sebelum tarikh tamat lesen perniagaan Rasa Sayang Restoran pada bulan Mac yang lalu, dengan melibatkan urusan di jabatan kerajaan iaitu Jabatan Pembangunan Ekonomi Dubai, dan telah menelan kos keseluruhannya, kira-kira 50 ribu ringgit Malaysia.

Hubungan dan kerjasama yang baik antara GISB Holdings dengan pihak Konsulat Malaysia di Dubai juga, telah memudahkan urusan bagi mendapatkan pengesahan dan kelulusan untuk mendaftarkan nama ‘Malaysia’ didalam lesen perniagaan disini.

Proses menaikkan papan tanda Nur Malaysia pula memakan masa hampir seminggu, dengan menelan kos sebanyak 20 ribu ringgit malaysia. Pengunaan bahan keluli tahan karat atau ‘stainless steel’ itu mengetengahkan konsep yang lebih moden dan berwibawa.

Selain itu, turut dikemaskini dan dinaiktaraf adalah, menu restoran, maklumat dan carian di Internet, promosi di media sosial yang sebelum ini dibuat atas nama Rasa Sayang Restaurant.

Maklumbalas yang diterima dari pelanggan pula mengatakan, dengan penjenamaan semula ini akan meningkatkan promosi, kerana secara jelas membawa nama Malaysia, sekaligus menarik minat lebih ramai masyarakat luar untuk mencuba makanan citarasa asli Malaysia di restoran ini.

Restoran Nur Malaysia mengadakan Pay As You Wish atau Bayar Ikut Rasa Hati pada hari setiap Jumaat, bermula dari jam 2 hingga 5 petang dengan menyediakan makanan tenghari berkonsepkan hidangan buffet.

Restoran Nur Malaysia yang mampu memuatkan 60 orang dalam satu masa tidak mampu untuk menampung pelanggan yang datang secara berterusan, hingga ada yang terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan meja.

Kebanyakannya adalah terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, yang tinggal di sekitar Dubai dan tidak kurang juga warga asing yang kali pertama ingin mencuba makanan Malaysia.

Kebanyakkan pelanggan yang datang sangat berpuas hati dan terhibur dengan khidmat yang disediakan, disamping layanan staf yang membantu dan sangat mesra. Selain dapat menjamu selera, warga Malaysia yang datang juga dapat berkumpul disamping mengeratkan silaturahim sesama.

Turut menjadi perhatian juga adalah respon-respon yang diterima di media sosial. Mereka sangat berterima kasih dan mendoakan agar Restoran Nur Malaysia terus maju dan bertapak kukuh di bumi Dubai ini.

Semoga dengan khidmat yang diberikan ini akan menghiburkan manusia untuk mengundang sebesar-besar rahmat dari Tuhan buat Restoran Nur Malaysia di Dubai ini.

Semoga dengan ini juga akan menarik minat masyarakat, untuk datang dan melihat dengan lebih dekat sistem perniagaan Islam yang syumul, yang membawa manusia untuk sama-sama takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Carian Terkini:

  • restoran nur malaysia dubai